Tuesday, 4 March 2014

Inventori Sumber Pelancongan

Assalamualaikum .








Latar Belakang Kg.Permas Besar

Rajah 1 : Pokok Sagu
Assalamualaikum .

Daerah Pontian adalah salah satu daerah di Johor yang terletak lebih kurang 62 kilometer dari Johor Bahru. Menurut sumber daripada ketua kampung, En.Baharudin bin Hj Yusof, Kampung Permas Besar dahulunya dikenali sebagai Kampung Permas Sagu kerana suatu masa dahulu terdapat banyak pokok sagu (Rajah 1) yang tumbuh di perkampungan tersebut. Namun yang demikian, identiti Permas Sagu telah pun bertukar menjadi Permas Besar kerana kepupusan pokok-pokok sagu tersebut. Kampung Permas Besar terletak di mukim Ayer Masin, Kukup dimana bersebelahan dengan Mukim Serkat. Selain daripada Kampung Permas Besar, Kampung Melayu Benteng, Kampung Melayu, Kampung Nelayan Ayer Masin, Kampung Haji Sayur dan Kampung Permas Kelapa juga terletak dalam Mukim Ayer Masin. Jarak antara kampung-kampung tersebut tidaklah begitu jauh manakala setiap mukim diwakili atau diketuai oleh ketua kampung dan penghulu yang berbeza.

            Jumlah penduduk atau komuniti yang tinggal di Kampung Permas Besar adalah lebih kurang 380 orang. Kebanyakan komuniti di kampung ini bekerja sebagai nelayan yang majoriti berumur dalam lingkungan 60 hingga 70 tahun. Selain daripada nelayan, komuniti di sini juga mengusahakan sektor pertanian seperti penanaman pokok kelapa, pokok kelapa sawit, menjual sarang burung walit dan juga menjalankan aktiviti perniagaan seperti membuka kedai runcit dan restoran-restoran. Pada masa yang sama, kemajuan demi kemajuan telah dapat dirasai oleh penduduk-penduduk di kampung Permas Besar selari dengan arus pemodenan masa kini dimana terdapat pelbagai kemudahan dan infrastruktur yang telah dibangunkan oleh pihak kerajaan untuk komuniti di kampung ini.

Apa itu Pelancongan?

Assalamualaikum .

      Berdasarkan pendapat Theobald (1994), perkataan tourism berasal daripada perkataan Latin iaitu tornare dan juga Greek iaitu tornos yang membawa maksud pergerakan dalam suatu bulatan. Manakala, Jafari (1977) mendefinisikan pelancongan sebagai suatu kajian manusia yang bertentangan dengan habitat semula jadi mereka serta penglibatan industri yang bertindak balas pada keperluan mereka, dan juga kesan ke atas diri mereka serta industri itu daripada sudut sosiobudaya, ekonomi dan persekitaran. Menurut Leiper (1981) pula menjelaskan pelancongan sebagai suatu sistem terbuka yang mempunyai hubungan dengan persekitaran yang luas, elemen manusia iaitu pelancong, elemen kawasan iaitu kawasan asal, kawasan persinggahan dan kawasan destinasi yang terpilih, elemen ekonomi iaitu industri pelancongan serta elemen dinamik iaitu terdiri daripada individu yang mengembara bagi tujuan berehat jauh dari tempat asal mereka selama lebih kurang satu hari. 

         Dalam membangunkan industri pelancongan, industri tersebut haruslah menilai kemahuan dan keinginan para pelancong. Sebagaimana yang dinyatakan oleh Sarman (2007), keperluan pelancong di dalam pelancongan secara umumnya meliputi perbelanjaan penginapan, pengangkutan, makanan, rekreasi dan membeli-belah. Melihat kepada aspek penginapan pelancong, melalui Pelancongan Berasaskan Komuniti seperti yang diperkatakan oleh Jabil Mapjabil (2011), ia berkait rapat dengan program inap desa atau juga dikenali sebagai program homestay, yang mana pelacong yang datang ke suatu kawasan luar bandar dengan tujuan mengenal budaya dan menikmati keindahan alam semulajadi, akan tinggal bersama tuan rumah di sesuatu kawasan tersebut. REST (1997) pula berpendapat bahawa Pelancongan Berasaskan Komuniti mengambil kira keseimbangan faktor persekitaran, sosial dan budaya masyarakat setempat. Aktiviti pelancongan mesti dimiliki dan diurus oleh komuniti tersebut dengan tujuan utama membolehkan pelancong untuk belajar dan meningkatkan pengetahuan mereka mengenai cara hidup dan budaya komuniti yang dilawatinya.

      Selain itu, Pelancongan Berasaskan Komuniti adalah satu bentuk pelancongan yang bertujuan untuk memberi penglibatan dan manfaat kepada masyarakat tempatan, terutamanya orang asli dan penduduk kampung. Terdapat pelbagai jenis projek pelancongan komuniti, termasuklah di mana komuniti perlu bekerja dengan pengendali pelancong. Keuntungan atau manfaat yang diperoleh terhadap projek pelancongan komuniti juga perlu diberikan secara saksama kepada masyarakat tempatan yang terlibat dalam menjalankan projek itu, (Tourism Concern UK, 2013). Pada masa yang sama, Pelancongan berasaskan komuniti membolehkan para pelancong untuk mendekati habitat tempatan dan hidupan liar, menghormati upacara dan budaya tradisional sesuatu masyarakat. Hasilnya, masyarakat akan menyedari nilai komersial dan sosial yang terletak pada warisan semula jadi dan budaya masyarakat tersebut melalui pelancongan dan ia akan memupuk sikap pemuliharaan terhadap komuniti berasaskan sumber-sumber ini, (Responsible Travel UK, 2002).

Pengenalan (Warm-up)

Assalamualaikum .

Laman Kampung Permas Besar ini dipaparkan untuk para pembaca mendapatkan info-info tentang kampung tersebut. Sekumpulan pelajar Politeknik Ibrahim Sultan, Johor Bahru telah menjalankan tugasan kajian tentang keadaan latar belakang, sejarah dan sumberjaya yang terdapat di kampung tersebut. Tugasan tersebut adalah untuk Modul Community Based Tourism, CBT (Pelancongan Berasaskan Komuniti) yang diduduki oleh pelajar semester enam. Bagi modul tersebut, kami telah memilih Kampung Permas Besar sebagai Case Study Area untuk dijadikan Homestay kerana ia berdekatan dengan Pulau Kukup. Kami perlu mengkaji kawasan kampung tersebut supaya ia bertepatan dengan ciri-ciri Program Homestay yang berada di bawah naungan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. Program Homestay merupakan salah satu inisiatif KPKM untuk memajukan sektor pelancongan yang merupakan sektor kedua terpenting dalam menjana pendapatan negara.