![]() |
Rajah 1 : Pokok Sagu |
Assalamualaikum .
Daerah Pontian adalah salah satu daerah di Johor yang terletak lebih kurang 62 kilometer dari Johor Bahru. Menurut sumber daripada ketua kampung, En.Baharudin bin Hj Yusof, Kampung Permas Besar dahulunya dikenali sebagai Kampung Permas Sagu kerana suatu masa dahulu terdapat banyak pokok sagu (Rajah 1) yang tumbuh di perkampungan tersebut. Namun yang demikian, identiti Permas Sagu telah pun bertukar menjadi Permas Besar kerana kepupusan pokok-pokok sagu tersebut. Kampung Permas Besar terletak di mukim Ayer Masin, Kukup dimana bersebelahan dengan Mukim Serkat. Selain daripada Kampung Permas Besar, Kampung Melayu Benteng, Kampung Melayu, Kampung Nelayan Ayer Masin, Kampung Haji Sayur dan Kampung Permas Kelapa juga terletak dalam Mukim Ayer Masin. Jarak antara kampung-kampung tersebut tidaklah begitu jauh manakala setiap mukim diwakili atau diketuai oleh ketua kampung dan penghulu yang berbeza.
Jumlah penduduk atau komuniti yang tinggal di Kampung Permas Besar adalah lebih kurang 380 orang. Kebanyakan komuniti di kampung ini bekerja sebagai nelayan yang majoriti berumur dalam lingkungan 60 hingga 70 tahun. Selain daripada nelayan, komuniti di sini juga mengusahakan sektor pertanian seperti penanaman pokok kelapa, pokok kelapa sawit, menjual sarang burung walit dan juga menjalankan aktiviti perniagaan seperti membuka kedai runcit dan restoran-restoran. Pada masa yang sama, kemajuan demi kemajuan telah dapat dirasai oleh penduduk-penduduk di kampung Permas Besar selari dengan arus pemodenan masa kini dimana terdapat pelbagai kemudahan dan infrastruktur yang telah dibangunkan oleh pihak kerajaan untuk komuniti di kampung ini.
No comments:
Post a Comment