Assalamualaikum .
Berdasarkan pendapat Theobald (1994), perkataan tourism berasal daripada perkataan Latin iaitu tornare dan juga Greek iaitu tornos yang membawa maksud pergerakan dalam suatu bulatan. Manakala, Jafari (1977) mendefinisikan pelancongan sebagai suatu kajian manusia yang bertentangan dengan habitat semula jadi mereka serta penglibatan industri yang bertindak balas pada keperluan mereka, dan juga kesan ke atas diri mereka serta industri itu daripada sudut sosiobudaya, ekonomi dan persekitaran. Menurut Leiper (1981) pula menjelaskan pelancongan sebagai suatu sistem terbuka yang mempunyai hubungan dengan persekitaran yang luas, elemen manusia iaitu pelancong, elemen kawasan iaitu kawasan asal, kawasan persinggahan dan kawasan destinasi yang terpilih, elemen ekonomi iaitu industri pelancongan serta elemen dinamik iaitu terdiri daripada individu yang mengembara bagi tujuan berehat jauh dari tempat asal mereka selama lebih kurang satu hari.
Dalam membangunkan industri pelancongan, industri tersebut haruslah menilai kemahuan dan keinginan para pelancong. Sebagaimana yang dinyatakan oleh Sarman (2007), keperluan pelancong di dalam pelancongan secara umumnya meliputi perbelanjaan penginapan, pengangkutan, makanan, rekreasi dan membeli-belah. Melihat kepada aspek penginapan pelancong, melalui Pelancongan Berasaskan Komuniti seperti yang diperkatakan oleh Jabil Mapjabil (2011), ia berkait rapat dengan program inap desa atau juga dikenali sebagai program homestay, yang mana pelacong yang datang ke suatu kawasan luar bandar dengan tujuan mengenal budaya dan menikmati keindahan alam semulajadi, akan tinggal bersama tuan rumah di sesuatu kawasan tersebut. REST (1997) pula berpendapat bahawa Pelancongan Berasaskan Komuniti mengambil kira keseimbangan faktor persekitaran, sosial dan budaya masyarakat setempat. Aktiviti pelancongan mesti dimiliki dan diurus oleh komuniti tersebut dengan tujuan utama membolehkan pelancong untuk belajar dan meningkatkan pengetahuan mereka mengenai cara hidup dan budaya komuniti yang dilawatinya.
Selain itu, Pelancongan Berasaskan Komuniti adalah satu bentuk pelancongan yang bertujuan untuk memberi penglibatan dan manfaat kepada masyarakat tempatan, terutamanya orang asli dan penduduk kampung. Terdapat pelbagai jenis projek pelancongan komuniti, termasuklah di mana komuniti perlu bekerja dengan pengendali pelancong. Keuntungan atau manfaat yang diperoleh terhadap projek pelancongan komuniti juga perlu diberikan secara saksama kepada masyarakat tempatan yang terlibat dalam menjalankan projek itu, (Tourism Concern UK, 2013). Pada masa yang sama, Pelancongan berasaskan komuniti membolehkan para pelancong untuk mendekati habitat tempatan dan hidupan liar, menghormati upacara dan budaya tradisional sesuatu masyarakat. Hasilnya, masyarakat akan menyedari nilai komersial dan sosial yang terletak pada warisan semula jadi dan budaya masyarakat tersebut melalui pelancongan dan ia akan memupuk sikap pemuliharaan terhadap komuniti berasaskan sumber-sumber ini, (Responsible Travel UK, 2002).
No comments:
Post a Comment